Airashima Teknologi Pengajaran

Pengajaran tentang teknologi yang digunakan selama lebih 10 tahun. Teknologi ini digunakan di peringkat antarabangsa, kebangsaan, negeri dan daerah.

BAB 3 MENULIS OBJEKTIF PEMBELAJARAN

PENGENALAN

Ramai yang keliru di antara matlamat dan objektif kurikulum dengan matlamat dan objektif pengajaran. Secara umum matlamat dan objektif kurikulum adalah pernyataan yang luas, umum dan abstrak tentang haluan dan tujuan yang hendak dicapai oleh sesuatu program kurikulum. Matlamat dan objektif ini telah ditetapkan oleh pihak penggubal dan perancang kurikulum berdasarakan kepada falsafah dan sistem social sesebuah negara. Objektif kurikulum ditulis dengan lebih konkrit berdasarkan kepada pernyataan umum yang terkandung dalam matlamat kurikulum.

Matlamat dan objektif pengajaran adalah pernyataan yang lebih spesifik tentang sesuatu unit pelajaran yang hendak dicapai atau ditunjukkan oleh pelajar setelah tamat sesuatu sesi pengajaran. Matlamat dan objektif ditulis oleh guru dengan lebih konkrit dan terperinci berdasarkan matlamat dan objektif kurikulum. Objektif pengajaran akan memperincikan lagi matlamat pengajaran dengan menetapkan perilaku dan tindakan yang boleh dilihat dan diukur.

 

OBJEKTIF PENGAJARAN

Penggunaan objektif pengajaran dalam pendidikan telah diperkenalkan oleh Robert Mager melalui bukunya bertajuk Preparing Instructional Objectives. Dalam buku ini beliau telah menjelaskan cara-cara menulis objektif pembelajaran yang beliau maksudkan sebagai objektif perilaku. Menurut beliau, guru harus tahu menulis objektif yang tepat kerana objektif itu akan mengukur apa yang mungkin dapat dilakukan atau dicapai oleh pelajar setelah pengajaran selesai. Sebelum memulakan pengajaran, guru harus menyatakan objektif dari segi hasilan pengajaran kerana ia boleh dijadikan panduan kepada proses pengajaran seterusnya.

 

KENAPA PERLU OBJEKTIF?

Dalam menempuh hidup ini kita harus ada matlamat dan objektif. Semasa kecil kita belum sedar tentang objektif atau tidak tau menentapkan objektif. Objektif ditentukan oleh ibu bapa, penjaga atau guru. Bila dewasa kita mempunyai matlamat dan objektif hidup sendiri. Tiap-tiap perkara yang kita lakukan sebaik-baiknya mempunyai matlamat dan objektif. Seseorang yang tidak mempunyai matlamat dan objektif diibaratkan seperti sebuah sampan yang hanyut tanpa kemudi dan akan terus mengikut arus tanpa arah tujuan. Begitu juga bila kita pergi pasar, kita harus mempunyai objektif. Jika tidak kita mungkin balik dengan tangan kosong atau membeli barang-barang yang tidak perlu dan akhirnya merugikan kita dari segi masa dan wang. Dalam pengajaran, guru harus menyediakan objektif pengajaran iaitu apa yang guru mahu pelajar capai setelah tamat pengajaran. Jika tiada objektif guru tidak dapat merancang isi pelajaran, kaedah dan media yang akan digunakan dan tidak dapat menilai pencaipaian pelajar.

Penggunaan objektif dalam pengajaran banyak menimbulkan kontroversi kerana:

  1. Penggunaan objektif perilaku tidak sesuai kerana tidak semua perilaku dapat diperhatikan.
  2. Objektif ditulis selalunya berkisar tentang hasilan pendidikan yang paling remeh sebab kita hanya menyatakan secara khusus perilaku yang boleh diamati dalam objektif.
  3. Menulis objektif perlukan banyak masa
  4. Objektif perilaku akan menghadkan dan menentukan kurikulum.
  5. Objektif telah menjauhkan kemungkinan guru menggunakan peluang ‘masa boleh mengajar’ yang diperuntukkan bagi sesebuah bilik darjah untuk mengajar perkara yang barangkali di luar daripada bidang kurikulum biasa.
  6. Penggunaan Objektif tidak menggalakkan perkembangan dan pembinaan pengetahuan baru.
  7. Apa yang diajar mungkin terlalu kompleks untuk dijadikan objektif.
  8. Objektif perilaku hanya sesuai untuk pengetahuan atau kemahiran aras rendah.

 

Permilihan Perilaku atau Kata Kerja

Sesuatu objektif harus ditulis dengan jelas pretasi atau perlaku yang dijangka dapat dilaksanakan atau dicapai oleh pelajar. Maksudnya, guru harus bijak memilih kata kerja yang boleh diukur atau diperhatikan seperti menyatakan, menerangkan, menyenaraikan, membezakan dan sebagainya. Kata kerja yang tidak harus digunakan semasa menulis objektif ialah seperti mengetahui, memahami, menghargai, menyukai, menyedari, memplejari atau menghayati. Kata kerja seperti ini adalah kabur kerana perilakunya sukar diukur, dilihat atau diamati. Ia hanya menggambarkan apa yang berlaku dalam mental pelajar dan hasilnyae akan memberikan makna yang berbeza kepada orang lain.

Sebagai contoh, bagaimanakah guru dapat mengetahui sama ada pelajar mengetahui konsep perpaduan? Sepatutnya guru harus menggunakan kata kerja seperti menyatakan atau menjelaskan konsep perpaduan.

Ini tidak bermakna proses yang melibatkan mental tidak penting, sebaliknya proses yang melibatkan mental adalah sangat penting bagi golongan kognitif. Cuma proses kognitif tidak dapat dilihat atau diukur secara empirical. Golongan perilaku percaya bahawa jika terdapat perubahan perilaku pada seseorang itu dan perubahan itu dapat diperhati atau diukur maka proses pembelajaran telah berlaku. Lagipun kita perlukan satu petanda atau bukti yang menunjukkan bahawa proses pembelajaran telah berlaku atau tercapai.

Elemen yang penting semasa menulis objektif ialah guru dapat memerhati dan mengukur hasil pembelajaran cara untuk kita tahu sama ada pelajar mengetahui, memahami atau menghayati sesuatu adalah dengan menyuruh pelajar melakukan sesuatu untuk memperlihatkan perilaku atau tindakannya.

 

Komponen Asas Objektif Pembelajaran

Mengikut Mager terdapat tiga komponen asas di dalam setiap objektif pengajaran. Komponen-komponen tersebut terdiri daripada perilaku, syarat dan kriteria.

  1. Perilaku

Menjelaskan tentang perilaku sebenar yang anda harap pelajar dapat tunjukkan sebagai hasil pengajaran. Perilaku ini harus dapat diperhatikan atau diukur.

 

  1. Syarat

Menghuraikan tentang syarat seperti situasi, peralatan, sumber dan konstrain yang diperlukan oleh pelajar melakukan atau menunjukkan perilaku yang diingini.

 

  1. Kriteria

Menghuraikan kriteria/piawai sama ada kualitatif, kuantitatif atau/dan jangka masa yang mesti ditetapi agar pencapaian yang dinilaikan itu boleh diterima.

 

Penutup

Objektif perlu dinyatakan terlebih dahulu sebelum sesuatu pengajaran itu dilakukan. Ia menjelaskan secara terperinci matlamat pengajaran yang telah dikenal pasti pada awal lagi. Objektif menunjukkan dengan jelas apa yang pelajar boleh lakukan setelah selesai pengajaran. Ingat! Ia bukan menghuraikan apa yang boleh dilakukan oleh guru. Setiap objektif harus mempunyai tiga komponen utama iaitu perilaku pelajar yang boleh dicapai atau ditunjukkan, syarat semasa perilaku ini dilaksanakan dan kriteria atau piawai yang harus dicapai oleh pelajar. Semasa menulis objektif kata kerja yang sesuai mestilah digunakan.

Kertas kerja ini telah menerangkan kepentingan menyedia dan menulis objektif, hierarki objektif, objektif umum dan objektif spesifik, komponen asas objektif pengajaran dan nilai objektif. Beberapa contoh domain objektif dan kata kerja atau perilaku juga telah disediakan.

Updated: September 17, 2017 — 7:06 am
Airashima Teknologi Pengajaran © 2019 Frontier Theme
%d bloggers like this: